Kamis, 06 Agustus 2015

Kembalikan Tanah Kepada Petani Jangan Musnahkan Jaminan Makanan

Kembalikan tanah kepada petani
Jangan musnahkan jaminan makanan


Petani-petani Perak yang menghadapi masalah tanah meminta untuk berjumpa dengan Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir, tetapi langsung tidak dihirau oleh MB, malah seramai 30 orang petani dan aktivis ditangkap di hadapan Bangunan Kerajaan Negeri Perak pada 5 Ogos yang lalu. 

Seramai 300 orang petani dan aktivis yang menyokong perjuangan petani, telah berhimpun dan berprotes di hadapan Bangunan Kerajaan Negeri Perak, dengan tuntutan supaya MB Perak berjumpa dengan petani untuk membincangkan masalah pengusiran yang sedang dihadapi oleh para petani di Perak dan mencari jalan penyelesaian yang adil. Para petani yang datang dari kawasan-kawasan sekitar negeri Perak pada hari itu, telah mendirikan satu “pasar sementara” di hadapan pintu masuk ke Bangunan Kerajaan Perak, dengan mempamerkan hasil pertanian mereka seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan ternakan. 

Menurut Kunasekaran, Penyelaras Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Perak, “Para petani Perak telah menghantar memorandum kepada MB sebanyak 8 kali, tetapi langsung tidak mendapat maklum balas daripadanya untuk mengadakan perjumpaan supaya satu perbincangan dapat dijalankan. Malah, para petani juga pernah menyerahkan memorandum ke Putrajaya, dan pihak Jabatan Perdana Menteri ada mengutuskan surat kepada pihak MB Perak supaya berjumpa dengan petani. Namun, sehingga hari ini, MB yang bersikap angkuh enggan berjumpa langsung dengan para petani.” Adakah Kerajaan Negeri Perak langsung tidak mempedulikan rezeki petani kecil dan jaminan pembekalan untuk rakyat?”

MB Perak bukan sahaja enggan berjumpa dengan para petani, malah anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dikerahkan untuk merampas semua hasil pengeluaran makanan yang dipamerkan di tempat protes petani itu. 

Pihak polis kemudiannya melakukan tangkapan ke atas para petani dan aktivis di situ. Seramai 39 orang telah ditangkap, mereka termasuklah Dr. Jeyakumar Devaraj (Ahli Parlimen Sungai Siput), M. Sarasvathy (Timbalan Pengerusi PSM), A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM), S. Arutchelvan (AJK Pusat PSM), K. Kunasekaran (Penyelaras Petani PSM), Michael Fong Hock Chon (wakil Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak) dan Chin Kwai Leong (wakil petani). Kesemua yang ditahan itu kemudiannya dibebaskan pada waktu malam hari itu juga.

Negeri Perak merupakan salah sebuah negeri di negara kita yang menghasilkan banyak sayur-sayuran untuk pembekalan makanan. Namun, ramai petani yang mengusahakan tanah mereka untuk masa yang lama tidak mendapat hakmilik tanah. Sebaliknya, pihak kerajaan telah memindahmilik tanah tersebut kepada syarikat berkaitan kerajaan atau pemaju swasta demi mengaut keuntungan. Tanah petani telah dirampas untuk mengkayakan segelintir kecil golongan kroni yang rapat dengan mereka yang berkuasa. 

Lebih-lebih lagi, penglibatan Syarikat Menteri Besar Incorporated dalam pengambilan tanah dan pengusiran paksa ke atas petani, telah menimbulkan satu persoalan, “adakah MB itu seorang penjawat awam yang diamanahkan untuk melindungi kepentingan rakyat, atau seorang ketua eksekutif syarikat bermotifkan keuntungan?”

Petani-petani dari kawasan di sekitar negeri Perak, seperti Tronoh, Cennderong, Tanjung Tualang, Tanah Hitam, Kanthan, Sungai Kroh, Biovalley, Mambang Diawan, Temoh, Malim Mawar, Batu Gajah, Kuala Kuang, Sungai Siput, Pusing, Papan, Batu Puteh, Changkat Kinding, Lawan Kuda, Kampung Bali, Kampung Banir, Chenderiang dan Ampang, telah menubuhkan “Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Perak”, demi menggabungkan kekuatan para petani untuk menentang pengusiran paksa dan mempertahankan hak tanah petani. PSM Perak telah bersama-sama dengan perjuangan petani ini sejak awal lagi. 

Pada bulan Mac yang lalu, Dr. Jeyakumar Devaraj, Ahli Parlimen PSM untuk kawasan Sungai Siput, telah mengusulkan satu rang undang-undang ahli persendirian untuk meminda Kanun Tanah Negara 1965, supaya dapat melindungi rezeki petani kecil dan menyelesaikan masalah tanah berkaitan dengan petani kecil, serta memperkukuhkan sara diri pengeluaran makanan di negara kita. Namun, cadangan rang undang-undang tersebut telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat. 


Selagi rampasan tanah masih berlaku dan petani terus ditindas, perjuangan petani mempertahankan rezeki dan jaminan makanan ini akan diteruskan…


Penulis Adalah Robinh Hugo